Sunday, August 12, 2007

GENERASI JIWA MERDEKA

Oleh : Mohd Zikri Zainudin

Mukadimah

“Belia Peneraju Kemerdekaan Gemilang” merupakan tema bagi Sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan 2007. Sempena kemerdekaan Malaysia ke-50, tema ini dipilih bersesuaian dengan manifesto bagi memartabatkan peranan generasi muda dalam menghayati makna kemerdekaan yang sebenar dan hakiki. Sebagai golongan pelapis, mereka sewajarnya menjadi sandaran untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita yang sudah berusia setengah abad ini agar Malaysia terus kekal gemilang dengan sistem pemerintahan bercorak demokrasi berparlimen dan mengamalkan prinsip-prinsip Islam. Martabat dan maruah bangsa perlu terus dipelihara dan dipertahankan demi kedaulatan agama, bangsa, dan negara. Generasi muda merupakan pewaris yang bakal membawa risalah kebenaran dan keadilan untuk kesejahteraan ummah bersama. Generasi ini harus memahami makna kemerdekaan sebenar agar mereka dapat memperkukuh dan memperkembangkan potensi diri supaya menjadi generasi unggul yang dapat memanfaatkan segala kurniaan Tuhan seterusnya mencapai kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Makna kemerdekaan dan kebebasan yang hakiki dapat dizahirkan apabila seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada segala perkara yang membawa kepada keburukan seterusnya berpotensi mengancam kehidupannya. Maka generasi yang berjiwa merdeka ini seharusnya tidak mudah dipujuk rayu, termakan akan janji palsu, dan tidak mudah untuk menggadaikan jiwa semata-mata untuk dimamah oleh hawa nafsu mereka yang berupaya membawa kepada kemudaratan.

Analisis Isu

Ancaman globalisasi memaksa kita agar lebih berdaya saing dan kompeten dalam menghadapi kemelut dunia yang penuh dengan dugaan dan cabarannya tersendiri. Jika kita tenggelam dalam arus globalisasi ini, tidak mustahil kita akan terus hanyut dengan suasana yang “comfortable” dan “convenience” sehingga meletakkan kita dalam zon selesa dan menjadikan kita bersikap manja atau “spoon feeder”, seolah-olah sesuatu itu akan diperoleh tanpa usaha untuk mendapatkannya. Dewasa ini, sikap pelajar yang malas dan terlalu mengharapkan pertolongan daripada guru mereka sudah begitu sinonim dalam proses pembelajaran. Mereka mengharapkan guru untuk menjadi penggerak utama untuk membantu mereka mencari jawapan bagi sesuatu persoalan padahal mereka seharusnya melakukannya sendiri. Status pelajar itu sendiri sudah memperlihatkan keperluan untuk mempelajari dan menyelidiki sesuatu dengan hasil usaha mereka tanpa paksaan daripada mana-mana pihak kecuali diri mereka sendiri. Situasi ini bakal mengundang kelahiran generasi yang tidak mahu berfikir dan malas untuk berusaha. Generasi sebegini bakal mengkhianati jiwa mereka sendiri kerana mereka hanya mahu mendapatkan sesuatu dengan cara yang mudah dan singkat. Budaya mengambil remeh soal jiwa dalam kehidupan menjadikan seseorang itu tidak dapat menghayati makna sebenar kehidupan. Akibatnya, seseorang itu menjadi tidak terurus, malas berusaha, tidak berupaya berfikir secara kritis, dan tidak membudayakan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan. Imperialisme dan kolonialisme yang berlaku telah menghasilkan generasi yang bersifat “Inferiority Complex” yang terlalu merendah diri dan sanggup menjadi hamba kepada orang lain lalu akhirnya memberi kesan negatif kepada jiwa dan intelektualiti. Ancaman hedonisme yang merupakan komponen dalam globalisasi telah membenarkan berlakunya pertukaran budaya secara meluas tanpa sekatan dan perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan negatif jika tiadanya kawalan dan pemantauan. Budaya mencari keseronokan dan memuaskan hati dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seakan sudah menjadi ikutan masa kini yang berupaya membunuh jiwa dan intelektualiti generasi muda lalu menjadikan generasi ini lesu untuk menongkah arus globalisasi. Persediaan dari segi intelektual, rohani, dan jasmani yang teratur lagi sistematik mampu memberi kelebihan untuk menjana minda generasi berjiwa merdeka.

Generasi Jiwa Merdeka Menurut Pandangan Alam Islam

Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, makna merdeka boleh didefinisikan sebagai satu pembebasan daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain, lepas dari tuntutan dan tebusan dan boleh berdikari (berdiri sendiri). Makna kemerdekaan ini merangkumi kebebasan secara fizikal yang mendorong seseorang untuk bebas daripada sebarang ancaman yang boleh mengugat ketenteraman yang dikecapi. Berbeza dengan definisi dan pandangan Dr. Muhammad ‘Imarah dalam bukunya al-`ata` al-hadhari li`l Islam (Anugerah Islam Untuk Ketamadunan) yang menterjemahkan kemerdekaan atau kebebasan sebagai penentangan terhadap wujudnya perhambaan dan hamba sahaya. Belia juga mentafsirkan kebebasan sebagai peluang yang telah disediakan untuk diisikan dan dimanfaatkan ataupun cuma dibiarkan saja peluang itu berlalu.
Beliau juga mendefinisikan kebebasan sebagai bebas dari cengkaman kebendaan dan undang-undang yang mengongkong serta bebas daripada kongkongan sifat-sifat keji dan hawa nafsu yang tidak terkawal yang dapat menyebarkan penyakit syahwat dunia. Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Binasalah hamba yang menyembah dirham dan binasalah hamba yang menyembah dinar”. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Majah). Seorang penyair arab turut mengatakan: “Tuan yang empunya ketamakan adalah hamba selama-lamanya”. Apabila seseorang itu sentiasa menuruti nafsu syahwatnya demi mencapai kehendaknya semata-mata, maka seseorang itu masih belum dikatakan merdeka kerana dirinya sentiasa terbelenggu dengan dosa-dosa dan menjadi hamba kepada nafsunya sendiri dan dia memperhambakan dan memperdagangkan dirinya kepada syaitan. Dr. Muhammad ‘Imarah juga mengatakan bahawa risalah Islam membawa makna kebebasan dengan mengembangkan, meningkatkan dan memperkukuhkan potensi diri untuk menjadi ummat yang terbaik dan tidak membiarkan dirinya menjadi hamba kepada segala taghut dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kepada Allah S.W.T dan mengharapkan redha Ilahi. Firman Allah S.W.T: “Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyeru kepada berbuat segala perkara yang maaruf (baik) dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (salah, buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)” (Surah ‘Ali-Imran:110).

Tauhid iaitu kepercayaan dan ilmu tentang Tuhan adalah punca utama lahirnya jiwa merdeka yang merangkumi kepercayaannya terhadap kewujudan TuhanNya lalu dia beriman kepadaNya dan meninggalkan segala laranganNya dan melakukan segala suruhanNya serta menolak pengabdian kepada sesiapa selain Allah. Begitu penjelasan Dato’ Dr. Siddiq Fadhil dalam bukunya Minda Melayu Baru yang membawa idea pembangunan jiwa merdeka dengan pengukuhan indokrinasi tauhid yang bakal menghasilkan generasi berkualiti unggul yang dapat memberi manfaat kepada persekitarannya. Generasi yang berkualiti ini diumpamakan sebagai buih yang tidak akan luput dimamah arus lautan yang mampu bertahan merentasi badai lautan dan taufan. Firman Allah S.W.T: “Adapun buih itu, akan hilang sebagai suatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Maka demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan” (Surah Ar-Ra’d:17).

Generasi yang berjiwa merdeka adalah generasi yang sensitif dengan maruah dan martabatnya dan mereka sanggup berkorban demi menjaga maruah dan martabat mereka. Mereka menyedari dan memahami betapa bernilai dan berharganya maruah dan martabat mereka dan mereka tidak sanggup melihat generasinya dihina, dipijak, dijajah, diremehkan dan diperlekehkan. Inilah yang dikatakan dengan generasi jiwa merdeka yang menjaga dan mempertahankan maruah dan martabat mereka. Generasi ini juga kaya dengan daya usaha dan berjiwa besar dalam mencapai matlamat yang telah dicita-citakan demi menjaga maruah dan martabat mereka.

Bagi Imam Al-Ghazali pula dalam karyanya Kimia Kebahagiaan, seorang yang berjiwa merdeka adalah mereka yang mengetahui dirinya, Tuhannya, dunianya dan tahu tentang hari akhirat. Apabila seseorang itu mengetahui tentang dirinya sendiri, maka secara sedar atau tidak sedar dia telah pun mengenal Tuhannya yang Maha Menciptakan. Maka bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhanya, dia sedar akan tujuannya hidup di muka bumi dan dia tahu apa yang harus dicapainya untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Inilah yang dikatakan jiwa merdeka apabila dia mengetahui matlamat hidupnya sebagai hamba Allah dan sebagai Khalifah di muka bumi Allah ini. Firman Allah S.W.T: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu” (Surah Az-Dzaariyaat:56). Maka jelas bahawa tugas manusia di bumi Allah ini adalah untuk memakmurkan bumi dan menjalankan segala muamalat dan urusan dunia dengan pengharapan untuk mendapat keredaan Ilahi. Bila semua unsur ini (pengetahuan tentang diri, Tuhan, dunia dan Akhirat) berpadu, ia akan menghasilkan satu kebahagiaan yang tidak ternilai harganya yang menjadikan jiwa seseorang itu merdeka dan bebas dari unsur kejahatan yang cuba menguasai diri demi mencapai kenikmatan duniawi semata-mata tanpa memikirkan kenikmatan ukhrawi.

Konklusi Dan Agenda Pengisian Jiwa Merdeka

Generasi kini harus lebih berdaya saing dan berfikiran jauh dalam menghadapi cabaran dunia yang dengan kemelut. Generasi ini haruslah berjihad (berusaha dengan bersungguh-sungguh) dalam mencapai satu matlamat dan bukannya melakukan sesuatu sekadar melepaskan batuk di tangga. Mereka ini bakal mengundang hasil yang produktif dalam diri mereka sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara. Generasi ini juga mempunyai semangat juang yang tinggi yang tidak mudah putus asa dan sentiasa berfikiran positif dalam melaksanakan sesuatu tugas kerana niat mereka adalah untuk mencari keredhaan Ilahi dan ikhlas kepada Allah S.W.T. Generasi yang berjiwa merdeka harus ini bebas berfikir berlandaskan syariat, Al-Quran dan As-Sunnah dalam melontarkan pandangan demi kebaikan bersama. Budaya tegur menegur dan nasihat menasihati menjadi pokok asas membincangkan masalah bersama yang secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhuwwah fillah diantara masyarakat dan membina perpaduan dan toleransi yang dapat memerdekakan jiwa daripada persengketaan. Budaya ilmu juga seharusnya menjadi tunjang dalam kehidupan generasi berjiwa merdeka yang mengangkat dan memartabatkan ilmu pengetahuan bagi membangunkan intelektualiti dan pemikiran generasi agar menjadi masyarakat yang bertamadun tinggi. Nilai-nilai keagamaan dan moral harus diterapkan dalam sistem pendidikan agar generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara dapat menghayati makna kehidupan sebenar yang berlandaskan kepada agama yang dapat membina intelektualiti dan spiritual mereka. Generasi berjiwa merdeka juga dapat mengawal nafsu mereka daripada dikuasai oleh nafsu mereka sendiri yang didorong oleh syaitan dan mereka juga memelihara kesucian hati (qalb) mereka daripada melakukan perkara yang boleh mengongkong dan membunuh jiwa nurani mereka. Generasi ini juga membawa risalah kebenaran dengan menyeru kepada perkara maaruf yang mendatangkan manfaat kepada umat dan mencegah perkara mungkar yang boleh merosakkan jiwa ruhaniyyah mereka. Mereka juga mengukuhkan ruhaniyyah mereka dengan melakukan segala suruhanNya dengan penuh tulus ikhlas kepada Allah S.W.T dan mereka ini sentiasa mengisi jiwa mereka dengan tadabbur, ta’aqul dan takaffur menghayati kebesaran sifat Allah dan mereka ini menghayati makna sebenar kehidupan di dunia bahkan di akhirat yang memerdekakan jiwa mereka daripada dorongan nafsu duniawi yang hanya cuma bersifat sementara. Inilah budaya yang harus diisi oleh generasi kini untuk menjadi generasi yang berjiwa merdeka.

Tuesday, July 31, 2007

Gejala Berhibur Yang Membimbangkan: Apa Tindakan Kita?

Gejala berhibur yang melampau di kalangan belia agak membimbangkan kita sebagai umat Islam yang prihatin. Gejala hedonisme yang tidak terkawal ini lama kelamaan akan mematikan aq'liah, ruhaniyyah dan jasmaniyyah belia Islam yang pada masa depan bakal menjadi tonggak peneraju negara. Apakah pada masa akan datang kita ingin melihat pemimpin yang lesu? Adakah kita inginkan pemimpin yang tidak mempunyai kekuatan ilmu dan kekuatan ruhaniyyah yang tidak dapat membangunkan rakyatnya? Sayidina Ali pernah berkata jika kita ingin melihat kejayaan suatu negara itu, kayu ukurannya adalah belianya atau as-syabab yang bakal mewarisi kepimpinan suatu negara. Jauh sekali pemikiran Sayidina Ali sehingga boleh melihat secara futuristik tentang kejayaan sesebuah negara hanya melalui pencapaian belianya atau generasi muda.

Melihat senario kini, apakah generasi kita bersedia untuk memikul beban untuk mewarisi kepimpinan negara jika masih dilekakan dan "ditidurkan" oleh "pil khayal" iaitu dengan hedonisme yang melampau sehingga tercetus gejala sosial yang semakin hari kian parah? Marilah sama-sama kita fikirkan sejenak tentang cabaran ini. Saya sendiri meminati seni muzik tetapi terkawal dan tidak terlalu melampaui batas. Muzik yang sering saya dengari adalah muzik yang berunsurkan soul, pop, acapella dan muzik kegemaran saya adalah nasyid yang banyak memberikan pengajaran buat saya. Tidak dinafikan bahawa fitrah manusia itu sendiri adalah keinginan mereka untuk merasai keseronokan dan menuruti nafsu semata-mata tetapi dengan keperluan kawalan dan kepatuhannya sebagai hambah Allah. Sebagai seorang muslim, kita haruslah mengambil pendekatan moderate atau bersederhana dalam melakukan sesuatu perkara. "Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan." (Al-A'raaf:31) Dalam Firman Allah, Allah menyeru umat manusia untuk tidak berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu perkara. Ini kerana berlebih-lebihan dapat membawa kemudharatan dari aspek aq'liah, ruhaniyyah dan jasmaniyyah. Anak muda kini berlebih-lebihan dalam berhibur yang dapat dilihat dalam acara keramaian seperti konsert, sehingga ada yang sanggup membuang wang semata-mata untuk menghadiri sesuatu konsert. Adakah setelah ke konsert, mereka akan mendapat satu perkara yang berfaedah yang dapat mereka manfaatkan dalam kehidupan mereka? Dari segi aq'liahnya, mereka menjadi pemikir yang lesu dan tidak kritis. Ruhaninya tidak mantap dan mendorong mereka untuk melakukan perkara mungkar dan jasmaninya tidak sihat kerana sentiasa berasa penat dan lelah walaupun merasai keseronokan yang hanya sekejap dan sementara.

Apa Tindakan Kita?

Sebagai belia muslim, kita seharusnya kembali kepada fitrah alamiah manusia. Seperti lirik kata lagu ini yang dinyanyikan oleh kumpulan Syifa', Mentari Hidup...
Kala senja itu tiba
Kutermenung sendirian
Terasa diriku ini jauh dari rahmat Tuhan
Dosa yang aku lakukan
Menerjah ruang fikiran
Masihkah ada untukku keampunan
Gelap rasa dunia ini
Tanpa cahaya Ilahi
Baru kini kusedari
Jalan yang aku lalui
Memusnah pedoman hidup
Melempar hatiku ini ke lembah kehinaan
Dalam kegelapan itu
Terbit cahaya dari-Mu
Memandu hamba-Mu menuju iman
Menginsafi diri dengan ketaqwaan dan kesabaran
Kau terangi jalanku menuju syurga-Mu
Dan Kau tunjuki dengan hidayah-Mu
Hanyalah pada-Mu kuhadapkan diri
Mohon keampunan
Wahai Yang Maha Pengasih
Bantulah hamba-Mu ini
Yang kian terumbang-ambing
Di dalam arus duniawi
Kuberdoa kepada-Mu
Memohon limpah rahmat-Mu
Mentari hidupku kan bersinar kembali

Apa yang dimaksudkan melalui lagu ini adalah pentingnya kita sebagai umat Islam itu mengenal Tuhannya yakni Allah dengan menuntut ilmu. Dengan menuntut ilmu, kita dapat mengkaji kebesaran Allah dan melihat serta berfikir akan kekuasaanNya. "Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi diri kepada-Ku" (Al-Dzaariyaat, 56) Dalam Tafsir Al-Azhar, konteks mengabdikan diri boleh diterjemahkan kepada dua, yakni ilmu dan amal. Dalam buku As-Sayr Ila'Llah (Perjalanan Mendekati Allah) dua elemen ini, ilmu dan zikir (amal) perlulah seiring untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah. Maka dengan menuntut ilmu, kita dapat mempertingkatkan pengetahuan kita dan mengembangkan ilmu yang diperolehi dan dikongsi bersama dengan yang lain. Maka untuk menjadi belia yang mantap, yang menpunyai kekuatan aq'liah, ruhaniyyah dan jasmaniyyah, generasi muda haruslah mempunyai kekuatan ilmu. Rasulullah pernah bersabda, "Menuntut ilmu adalah fardhu buat seluruh muslimin dan muslimat".

Generasi muda masa kini haruslah mempersiapkan diri dengan kekuatan ruhani bagi mengukuhkan lagi kekuatan ilmu yang sudah diperolehi. Sifat tawaduk atau patuh dengan perintah Allah, sentiasa mengingati Allah dan menyebut asmanya, mengerjakan solat 5 waktu, muhasabah diri, solat malam, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran adalah antara kekuatan kejiwaan dan ruhani yang harus ada dalam diri generasi muda muslim. Bukan itu saja, pemeliharaan hati daripada melakukan perkara yang dilarang seperti mengumpat, berlebih-lebihan atau melampaui batas, melihat perkara yang tidak seharus dilihat (porno dan sebagainya), takbur, ujub, riak haruslah dielakkan bagi menjaga kebersihan dan kesucian hati agar lebih tenang dan lebih khusyuk dalam mengerjakan amalan serta ibadah.

Generasi muda kini juga harus bijak mencari rakan yang dapat membawa mereka kepada kebaikan. Dengan ada rakan yang baik, kita sebenarnya dapat bermuhasabah diri dan dapat memperingati antara satu dengan yang lain demi kebaikan bersama. Disamping berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar fikiran, mereka sebenarnya secara tidak langsung dapat membina ukhuwwah Islamiyyah dan mengeratkan silaturrahim antara mereka.

Gejala hedonisme yang semakin berleluasa masa kini dapat dicegah dengan guideline atau panduan yang telah saya utarakan dalam tulisan ini melalui pembacaan dan pengkajian sosial yang telah saya lakukan . Semoga dengan adanya tulisan ini dapat memberi sedikit sebanyak manfaat kepada kita untuk tidak melibatkan diri dalam gejala hedonisme yang melampaui.

"Melampau membawa binasa, Sederhana membawa berkat"

Saturday, July 28, 2007

Belia Penyayang

Mendonggak langit biru
Memecah keheningan awan
Melangkah ke Bumi ciptaan Tuhan
Mendamba sayu kasihNya Tuhan
Mengharap keredhaan daripada Tuhan

Sayang Tuhan sayang manusia
Menjadi inspirasi dalam kehidupan
Tanpa sayang timbullah persengketaan
Tanpa sayang timbullah hasad dengki
Tanpa sayang tiadalah cinta
Tanpa sayang tiadalah mahabbah

Belia penyayang belia mahabbah
Menjalinkan ukhuwwah sesama insan
Membina silaturrahim yang tidak terputus
Tanpa rasa terbeban
Dia berbakti mengerah keringatnya
Buat keluarga, masyarakat & tanah air tercinta

Ilham by Allah
Interpret by Zikrullah As-Saif
6.15 a.m.
Bilik Kuliyyah 1 @ Surau
Khemah Kerja Belia Peringkat Negeri Sabah 2007

Cinta Sufistik

By Faisal Tehrani. http://jawapancinta.blogspot.com/

Mahabbah atau cinta, demikianlah kaum sufi menyebut tradisi bercinta mereka.Adalah Imam al Qusyairi, pengarang Risâlah al Qusyairiyyah mendefinisikan cinta (mahabbah) Allah kepada hamba sebagai kehendak untuk memberikan nikmat khusus kepada siapa saja yang Allah kehendaki. Apabila 'kehendak tersebut tidak diperuntukkan khusus melainkan umum untuk semua hambaNya' menurut Qusyairi dinamakan Rahmat; kemudian jika irâdah tersebut berkaitan dengan azab disebut dengan murka(ghadlab).

Masih dalam konteks yang sama, lebih jauh al Qusyairi memaparkan definisi mahabbah tersebut versi kaum salaf; mereka mengertikan cinta sebagai salah satu sifat khabariyyah lantas menjadikannya sebagai sesuatu yang mutlak, tidak dapat diartikulasikan sebagaimana rupa seperti halnya mereka cenderung tidak memberikan penafsiran yang lebih dalam lagi, sebab apabila cinta diidentikkan dengan kecenderungan pada sesuatu ataupun sikap ketergantungan, alias cinta antara dua manusia, maka mereka menganggap hal itu sangatlah mustahil untuk Allah Swt. Interprestasi yang demikian ini memang lebih cenderung berhati-hati seperti halnya mereka (baca: kaum salaf) sangat menekankan metode tafwîdl dalam permasalahan yang bersifat ilâhiyah.Kaum Sufi menganggap mahabbah sebagai modal utama sekaligus mauhibah dari Allah Swt, untuk menuju ke puncak ahwâl yang lebih tinggi.Imam al Ghazâli memposisikan cinta ini sedarjat dengan taubat dalam maqâmât. Beliau berpendapat: bagaimana seorang sufi boleh merasakan 'imanensi' ataupun fana tanpa didahului oleh rasa cinta, suatu hal yang mustahil tentunya; bagaimana mungkin Qois rela mengakhiri hidupnya demi seorang Laila tanpa ada cinta antara keduanya? Sungguh senario itu tak akan pernah terjadi.

Fakta ini pun disetujui oleh sebahagian besar para sarjana muslim; Dr.Faishal badîr 'Aun misalnya, mengatakan bahawa kaum sufi akan sulit menyelesaikan petualangan spiritualnya tanpa dibekali mahabbah yang merupakan anugerah Allah semata; jika tangga awal cinta ini boleh dilalui maka tangga ahwâl selanjutnya pun akan mudah terlewati.Nah, dalam konteks cinta ilahi ini kaum sufi memakai dalil-dalil dari Al-Quran dan As- Sunnah. Dua ayat al Quran yang sering dijadikan landasan ialah ayat ke 31 dari surat Ali Imran dan ayat ke 54 surat al Maidah.

Kedua ayat ini menempati posisi penting dalam budaya bercinta seorang sufi; karena secara tersirat atupun tersurat, keduanya mengisyaratkan bahwa cinta yang terjadi antara Tuhan dan makhluk-Nya adalah sebuah kenescayaan, pasti terjadi. Namun bukan bererti cinta itu terjalin begitu saja melainkan buah hasil dari mujâhadah yang berterusan dan berkualiti.Al Wâsithî mengulas ayat kedua di atas terutama pada lafadz "yuhibbuhum wa yuhibbûnahu" bahawa Allah Swt dengan zat-Nya akan mencintai mereka (hamba-hambanya-Nya) seperti halnya mereka mencintai sang Khâliq dengan zat-Nya yang suci. Dengan demikian huruf ha yang terdapat di situ kembali kepada zat bukan sekadar sifat-sifat, dalam erti secara hakiki cinta tersebut memang benar adanya.Berangkat dari sini maka kaum sufi mewajarkan budaya cinta mereka serta menescayakan hal tersebut. Apabila sebuah tradisi itu termaktub dalam Al-Quran, mengapa tidak mencuba untuk diterapkan?.Tradisi ini diperkuat lagi dengan beberapa hadis Rasulullah saw yang terjamin keabsahannya. Salah satu contohnya hadis Qudsi yang diriwayatkan Anas bin Mâlik:

Dalam matan hadis ini Allah Swt berfirman :"....Hatta uhibbuhu... "yang berlanjut dengan sebuah kenyataan yang lebih konkrit;"...waman ahbabtuhu kuntu lahu sam’a....,"yang jelas merupakan manifestasi dari cinta Zat Abadi ini.Masih banyak dalil yang melandasi salah satu tradisi suci kaum sufi, seperti dua hadis riwayat Abu Hurairah dengan rawi pertama Naîm abd al Mâlik dalam hadis pertama, sedangkan Alî bin Ahmad bin Abdân sebagai perawi pertama dari hadis kedua.Nah, dalil dalil di atas baik Al-Quran maupun As-sunah mereka 'sinergi'kan sedemikian rupa menjadi 'kalau boleh disebut: "landasan hukum" yang memang absah dan terjamin legalitinya, ya, tentunya bersumber dari Zat yang Maha Mengetahui.

Kemudian mengenai konteks cinta secara garis liner seorang hamba kepada Khaliqnya menurut penulis sangatlah relatif, tidak boleh di'umum'kan atau digeneralisasikan pengertiannya. Al Qusyairi menyebutkan ada banyak definisi tentang mahabbah; dari sekian penafsiran tersebut jika kita lihat sangatlah berkaitan dengan pengalaman (tajribah) peribadi seorang sufi yang mungkin berbeza satu sama lain.Abû Yazîd al Basthâmî mendefinisikan Mahabbah sebagai sikap menganggap sedikit sesuatu yang banyak yang berasal dari diri kita dan menilai hal sedikit yang bersumber dari kekasih kita sebagai sesuatu yang besar.

Berbeza dengan al Junaid, guru al Hallâj yang akrab dengan jolokan sayyid al Thâifah mengertikan kata yang bernilai sufistik ini dengan masuknya sifat-sifat Zat yang dicintai mengganti apa yang ada di jiwa sang Pencinta; mendorong seorang pencinta untuk tidak mengingat selain Zat tersebut serta melupakan dan mencampakkan secara total sifat-sifat yang dulunya melekat di dirinya. Namun bagaimanapun persepsi orang, penafsiran tersebut tidak boleh keluar dari landasan hukum di atas.Mengenai bilakah budaya cinta ini mulai mentradisi; Abd al Rahmân Badawî menyebutkan bahwa Rabi'ah al Adawiyyah (beliau terkenal dengan jolokannya Syahîdat alIsyq al Ilâhî, hidup pada masa khalifah Harun al Râsyîd) adalah sufi pertama yang mengumandangkan syiar bercinta ini.Berangkat dari siniseperti yang dipaparkan Abd al Rahmân Badawî, ada sebuah polemik yang menarik; tentang dialektika yang terjadi antara tiga istilah yang berbeza, namun sering kita salah ertikan iaitu: al 'Isyq, Mahabbah dan al Khullah.

Dialektika ini terjadi kerana ada persamaan di antara ketiga istilah tersebut, meskipun pada akhirnya kesemuanya tidak bisa bertemu di satu titik kesepakatan. Abd al wâhid bin Zaid berpendapat bahwa kalimat isyq lebih diakui dalam perbincangan mengenai Allah, karena lanjutnya kalimat mahabbah tidak sesuai dengan Al-Quran dan merupakan warisan Yahudi dan Kristiani. Namun bagaimanapun, kata Mahabbah yang dipilih Abân bin Abî Ayyâsy dan disetujui beberapa tokoh lain seperti Rabî'ah sendirilah yang akhirnya lebih mendominasi sampai sekarang.

Abd al Rahmân Badawî menegaskan Mahabbah merupakan satu-satunya lafaz yang tertulis dalam Al-Quran dan As-sunnah; Sedangkan termasuk Isyq sendiri adalah sebuah ibarat tentang cinta yang berlebihan, tentunya Islam tidak mengajarkan itu apalagi secara 'legal formal' seperti apa yang Abd Al Wahîd usulkan, bagaimana mungkin seorang hamba boleh mendapatkan takaran cinta lebih dari apa yang telah ditakdirkan? Mengenai al Khullah, pengarang kitab Jâmi' al Ushûl mengatakan asal mula kata ini adalah Khalla al Syai fî al syaii (menyatunya dua hal yang berbeda); kondisi inilah yang sering diertikan sebagai keadaan gugur kewajiban, karena kedekatan antara seorang hamba dan Khaliqnya maka menurut pemahaman sufi tersebut ia pun terbebas dari syariat, tak ada perintah dan larangan apalagi sekadar halal dan haram.Untuk hal yang satu ini (gugurnya kewajiban, karena kedekatan antara seorang hamba dan Khaliqnya) jelas berseberangan dengan batas agama, kerana bagaimanapun Ibrahim as adalah Khâlilullâh namun baginda sendiri tidak begitu saja meninggalkan kewajiban terlebih melanggar halal haram seperti yang disebutkan.

Terakhir kali, jika Râbi'ah dalam Syairnya pernah berkata bahwa dia mencinta Tuhannya dengan dua cinta; cinta hasrat dengan melupakan segala sesuatu selain-Nya dan cinta karena Dialah Pemilik cinta itu, agar ia pun boleh melihat-Nya tanpa ada hijab yang menghalangi.

Jika cinta sejati itu benar adanya; cinta abadi yang tak berkecenderungankan duniawi, maka inilah cinta sejati.

GAGASAN SA`ID HAWWA TENTANG AL-SAYR ILA ‘LLAH (PERJALANAN MENDEKATI ALLAH): RUMUSAN DAN ULASAN

oleh: Dr. Siddiq Fadzil

Berdasarkan huraian Sa`id Hawwa tentang al-sayr ila ‘Llah atau perjalanan mendekati Allah, dapat dirumuskan bahawa ia adalah perjalanan transformatif, iaitu anjakan dari al-iman al-`aqliy kepada al-iman al-dhawqiy. Dengan demikian iman yang tadinya hanya sebatas tahap mental-konseptual ditingkatkan ke tahap citarasa dan pengalaman rohaniah yang aktual. Memang iman bukan hanya sejenis sikap mental, tetapi juga suatu pengalaman indah yang disebut halawat al-iman (kemanisan iman). Dalam kaitan inilah relevannya tasawwuf dalam erti tadhawwuq al-`aqidah (pencitarasaan `aqidah) dengan cara yang menepati nass dan kefahaman yang benar.

Perjalanan rohaniah mendekati Allah harus memenuhi dua rukun asasi: ilmu dan zikir. Tanpa kedua-duanya perjalanan tersebut tidak mungkin berlaku. Ilmu diperlukan sebagai penyuluh jalan, sementara zikir diperlukan sebagai bekal sepanjang perjalanan di samping sebagai alat pendakian rohaniah. Dengan kata lain, kita memerlukan ilmu (tentang al-Kitab, al-Sunnah dan segala yang berkaitan dengan keperluan-keperluan dalam perjalanan) bagi mengetahui perintah-perintah Ilahi dan segala hikmah yang tersirat untuk dilaksana dan diaktualisasikan. Kita juga memerlukan zikir (yang ma’thur atau yang disunatkan) agar Allah berkenan untuk bersama dalam perjalanan kepada-Nya sebagaimana yang diisyaratkan dalam sebuah Hadith Qudsi, “Dan Aku bersamanya apabila ia menyebut dan mengingati Aku” (Muttafaqun `alayh).
Dari segi praktiknya, memang tidak mudah melaksanakan kedua-duanya (memperdalam ilmu dan memperbanyak zikir) secara seimbang dan proportionate. Maksudnya, terdapat kalangan yang lebih menumpu pada kegiatan keilmuan, namun tetap mengamalkan zikir secukupnya; di samping terdapat pula kalangan yang lebih menumpu pada zikir, namun tetap menambah ilmu semampunya. Keadaan seperti itu sebenarnya lumrah dan tidak menjejaskan pencapaian matlamat.

Ilmu: Asas Ma`rifah dan `Ibadah
Mengenai bidang ilmu yang perlu dikuasai, Sai`id Hawwa menekankan keperluan membuat pilihan secara kontekstual dengan mengambil kira realiti zaman dan lingkungan. Ada ilmu yang wajib dipelajari oleh semua orang, dan ada pula yang tidak semua orang wajib mempelajarinya. Generasi sahabah misalnya, tidak perlu mempelajari bahasa Arab kerana ia adalah bahasa ibunda yang memang mereka kuasai dan fahami dengan baik. Mereka juga tidak perlu mempelajari tajwid kerana sebagai penutur peribumi mereka dapat membaca al-Qur’an tepat sebagaimana yang diajarkan oleh al-Rasul (s.`a.w.). Tetapi bagi generasi kini (terutama yang bukan Arab) perlu sekali mempelajarinya di samping ilmu-ilmu lain yang terabai.
Memang seluruh kehidupan Islami (al-hayat al-Islamiyyah) berpangkal pada ilmu.

Demikianlah proses perubahan dari jahiliah kepada Islam telah bermula dengan iqra’ (baca!), kalimat yang mengandungi tenaga transformatif yang luar biasa. Kata iqra’, perintah pertama yang mendahului segala perintah itu jelas membawa implikasi ilmu. Hakikat peri pentingnya ilmu diberi penegasan sedemikian rupa sejak wahyu pertama: kata iqra’ diulang dua kali dalam tiga ayat, sementara kata `ilm diulang tiga kali dalam lima ayat. Selain itu disebut pula kata al-qalam, alat terpenting dalam urusan keilmuan. Demikianlah sebutan kata `ilm dan yang seakar dengannya dalam surah al-`alaq itu bukanlah yang pertama dan terakhir, tetapi terus-menerus sepanjang tempoh penurunan al-Qur’an. Sejak awal lagi, ilmu seperti yang disebut dalam surah al-`alaq itu dikaitkan dengan al-Rabb dan al-Khaliq.

Dengan menyebut nama Tuhan sebagai al-Rabb dan al-Khaliq dalam konteks keilmuan, bererti bahawa ilmu seharusnya dapat membawa manusia mengenali dan seterusnya mengabdi Ilahi.

Yang dimaksudkan dengan iqra’ (baca) dalam ayat tersebut adalah pembacaan kedua-dua ayat al-Qur’an dan ayat al-kawn. Alam ciptaan Tuhan (al-kawn) selalu disebut sebagai al-kitab al-maftuh, sebuah kitab terbuka yang menyerlahkan tanda-tanda kemahakuasaan dan kemahaesaan Tuhan. Memang tujuan penciptaan alam adalah untuk mengenalkan Penciptanya, Tuhan Yang Maha Esa sebagaimana yang disebut dalam ayat 12 surah al-Talaq:
Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus-menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmu-Nya akan tiap-tiap sesuatu.

Demikianlah hikmah di sebalik penciptaan alam - langitnya dan buminya, adalah untuk lita`lam...., (agar manusia mengetahui dan mengenali) Penciptanya Yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki segala sifat kebesaran dan kesempurnaan yang antaranya seperti yang disebut dalam ayat di atas: kuasa yang tidak berbatas dan ilmu yang serba meliputi. Dengan mengenal Pencipta akan timbullah kesedaran untuk mengabdi. Dengan demikian kontroversi di sekitar makna kalimat liya`budun dalam ayat 56 surah al-Dhariyat (Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia selain untuk mengabdi kepada-Ku), sama ada bererti mengabdi atau mengenali (liya`rifun) dapat diselesaikan, iaitu `ibadah sesudah ma`rifah (mengabdi setelah mengenali).
Ilmu yang dituntut dengan memohon petunjuk dan pertolongan al-Rabb al-Khaliq, Tuhan Yang Maha Pencipta, akan menemukan tanda-tanda kekuasaan dan keesaan Tuhan, lalu menumbuhkan keyakinan bahawa Dia dan segala ajaran-Nya adalah benar. Dengan kata lain, ilmuwan yang menghayati semangat surah al-`alaq akan melihat Tuhan di mana-mana. Demikianlah maksud ayat 53 surah fussilat.

Ilmu yang menghasilkan keyakinan terhadap hakikat tawhid itulah yang mengangkat martabat kesaksian tauhidik para ilmuwan sehingga layak dideretkan bersama kesaksian Allah dan para malaikat (Ali `Imran:18)..

Zikir: Wahana Ma`iyyatu ‘Llah
Perjalanan menuju Allah (al-sayr ila ‘Llah) pada dasarnya adalah usaha penyihatan hati demi mencapai matlamat al-qalb al-salim. Hati yang sihat sebagaimana yang disebut dalam hadith riwayat al-Bukhariy yang terkenal itu adalah punca kesihatan diri - jasmani-rohani - seseorang. Hati yang sihat juga adalah titik tolak ke arah kehidupan Islami (al-hayat al-Islamiyyah) yang utuh dan menyeluruh, istiqamah dalam melaksanakan hak-hak Allah sebagai realisasi `ubudiyah yang setulusnya. Dalam kaitan inilah pentingnya zikir sebagai wahana penyihatan hati dan kesedaran batin tentang kehadiran Allah di mana pun dan bila-bila pun. Hati yang berpenyakit, jika dibiarkan tanpa penyihatan akhirnya akan mati. Hati yang mati seperti yang disebut oleh Ibn `Ata’i ‘Llah al-Sakandariy dalam al-Hikamnya, “… tidak berasa sedih atas luputnya amal ketaatan, dan tidak menyesal dengan maksiat yang telah dilakukan.”
Zikir secara leteral bermakna menyebut dan mengingat. Dhikru ‘Llah adalah manifestasi cinta hamba terhadap Tuhannya. Demikianlah resam orang bercinta, sentiasa mengingat dan menyebut yang dicintai. Manusia secara fitri memang menyenangi kesempurnaan dan keindahan. Kedua-duanya, al-Kamal dan al-Jamal ada pada Allah, malah pada hakikatnya Allah adalah puncak segala kesempurnaan dan puncak segala keindahan sebagaimana yang terungkap lewat Nama-Nama Indah-Nya yang 99 itu. Penghayatan erti hakiki al-Asma’ al-Husna akan memberikan rasa nikmat berdampingan dengan (Tuhan) Yang Maha Sempurna lagi Maha Indah.

Menyintai Allah adalah cinta yang timbal balik, menyintai dan dicintai sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Ali `Imran:31 yang menyebut kenescayaan cinta Allah buat mereka yang menyintai-Nya dengan cara mentaati dan meneladani al-Rasul (s.`a.w.). demikian juga dengan surah al-Ma’idah: 54 yang menyebut tentang kualiti umat yang ditampilkan sebagai ganti golongan yang murtad. Mereka disebut sebagai kaum yuhibbuhum wa wuhibbunahu (Allah menyintai mereka, dan mereka demikian pula, sama-sama saling menyintai). Memang demikianlah berlakunya kesalingan yang juga meliputi dhikr sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah:152 (Ingatilah Aku, nescaya Aku mengingati kamu pula). Apabila Allah mengingati seseorang, tentunya bukan sekadar ingat, tetapi ingat yang membawa rahmat. Dengan kata lain, seseorang yang diingati oleh Allah bererti berada dalam bimbingan dan perlindungan-Nya. Demikianlah betapa beruntungnya orang yang berzikir, kerana zikir adalah pembawa rahmat dan kurnia. Sebagaimana berlakunya kesalingan dalam dhikr, demikian pula sebaliknya jika lupa terhadap Allah yang berakibat dilupakan oleh Allah dalam erti tersingkir dari rahmat-Nya (al-Hashr:19).

Menyedari peri pentingnya dhikru ‘Llah seperti yang diungkapkan di atas, para ahli rohaniah berusaha menyebatikannya dalam kehidupan harian mereka menerusi kaedah-kaedah tertentu yang dirasakan berkesan. Imam al-Ghazaliy r.`a. misalnya, menganjurkan zikir dan do`a tertentu untuk diamalkan pada waktu-waktu yang menyelangi antara sembahyang-sembahyang fardhu. Zikir yang juga meliputi do`a, membaca al-awrad dan tilawah al-Qur’an biasanya dipelbagai untuk mengelak kejemuan. Kejemuan mengingati Allah memang seharusnya dihindari, kerana ia akan mengundang kejemuan Tuhan terhadap hamba-Nya. Masalah yang selalu dialami dalam zikir ialah ketidakhadiran hati bersama Allah. Dalam kaitan ini Ibn `Ata’i ‘Llah r.`a. menyarankan agar hal itu tidak usah dijadikan halangan untuk terus berzikir, kerana sesungguhnya melalaikan zikir (tidak berzikir sama sekali) itu lebih buruk berbanding lalai dalam keadaan berzikir.

Zikir yang dihayati dan disebatikan dalam kehidupan akan membentuk sikap dan watak yang selayaknya sebagai hamba dan khalifah Allah. Sikap dan watak mereka yang mengamalkan zikir al-Asma’ al-Husna misalnya, akan mencerminkan sifat-sifat al-Asma’ tersebut dalam konteks dan batas kemanusiaan. Ia akan terdorong untuk bersikap adil, berilmu, penyayang, pemurah dan seterusnya. Kerana itu zikir dengan dampak perwatakan sedemikian itu disebut sebagai `ibadah ijtima`iyyah yang menjelmakan kepedulian sosial dengan semangat kebaktian yang tinggi.

(Sumber: Minda Madani Online)

Hatiku Milik Siapa?

Waktu berdetik sepertinya hatiku berdegup
Menanti jawapan daripadaNya
Namun ku sangsi apakah hatiku terpaut kepadaNya
Dalam meniti isi hatiku yang penuh dengan kasih sayangNya
Yang sentiasa mengisi hatiku yang kekosongan
Umpama darah dialirkan ke urat
ang tidak pernah terhenti
Yang sentiasa memenuhi ruang isi hatiku

Huh
Lantas aku bertanya
Hatiku menjadi milik siapa?
Dia ataupun dia?
Yang mana satukah hatiku terpaut?
Aku mengeluh panjang
Mengeluh sehingga terlalu penat untuk memikirkannya
Lalu hati ini milik siapakah?

Huh
Aku mengeluh lagi
Mengeluh lalu mengeluh
Namun ku tahu hati ini sentiasa MilikNya
Kerana Dia yang memberikan hati ini kepadaku
Mengisi hati ini dengan kasih sayangNya
Tidak pernah Dia menagih kasihku
Bahkan Dialah yang memberikanku rahmah dan rahmatnya
Mengisi hati ini dengan nur imanNya
Mengisi akal ini dengan kebijaksanaanNya
Lalu jiwa dan hati ini tidak pernah keringTidak pernah kering dari kurnia dan perhatianNya

Hati yang kotor pasti menolak maaruf
Hati yang suci pasti menolak kemungkaran
Hati yang dinodai pasti menjadi malas
Hati yang bersih pasti menjadi dinamik
Hati yang hitam pasti terlalu mencintai dunia
Sehingga mengabaikan tujuan hidupnya
Hati yang putih pasti bijak mengimbangi dunia dan akhirat
Kerana dia tahu apa tujuan hidupnya
Dan dia tahu ke mana destinasi yang harus dituju
Kerana destinasi itulah kehidupan kita yang sebenar

Senja

Mentari senja gemerlapan diufuk awan
Kicauan burung yang menghambar dikeheningan senja
Unggas berterbangan dilangit raya
Mengiyakan pemergian senja
Lalu ia mencari ke mana menghilangnya sinar senja
Mengharapkan ianya akan kembali semula
Menyinari setiap hari senjanya dalam meniti impiannya
Lalu apakah impiannya akan terlaksana?
Biar pun mentari senja beransur meninggalkannya?

Senja meninggalkan ku keseorangan dalam meniti impianku
Namun ku tahu jua mentari kan muncul kembali
Kalau bukan hari ini pasti esok
Kalau bukan esok pasti hari yang akan datang
Namun ku pasrah dalam meniti impianku

Ku tahu
Bukan semuanya impianku akan terhajati
Namun hati yang senja ini sentiasa membangkitkan amarahnya
Membilang satu per satu impianku
Memberikan ku harapan yang tidak pasti
Dalam meniti hari yang semakin senja

Senjaku pasti akan berakhir
Senjaku pasti mengamit perasaan ku kepadaNya
Dalam mencari mardatillah yang pasti memberikan cahaya ketenangan
Kerana ku tahu
Senja yang ku lalui pasti diganti dengan cahaya malam
Yang menyinari kegemerlapan langit malam
Senjaku pasti kan berakhir...

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Design Blog, Make Online Money