Tuesday, July 31, 2007

Gejala Berhibur Yang Membimbangkan: Apa Tindakan Kita?

Gejala berhibur yang melampau di kalangan belia agak membimbangkan kita sebagai umat Islam yang prihatin. Gejala hedonisme yang tidak terkawal ini lama kelamaan akan mematikan aq'liah, ruhaniyyah dan jasmaniyyah belia Islam yang pada masa depan bakal menjadi tonggak peneraju negara. Apakah pada masa akan datang kita ingin melihat pemimpin yang lesu? Adakah kita inginkan pemimpin yang tidak mempunyai kekuatan ilmu dan kekuatan ruhaniyyah yang tidak dapat membangunkan rakyatnya? Sayidina Ali pernah berkata jika kita ingin melihat kejayaan suatu negara itu, kayu ukurannya adalah belianya atau as-syabab yang bakal mewarisi kepimpinan suatu negara. Jauh sekali pemikiran Sayidina Ali sehingga boleh melihat secara futuristik tentang kejayaan sesebuah negara hanya melalui pencapaian belianya atau generasi muda.

Melihat senario kini, apakah generasi kita bersedia untuk memikul beban untuk mewarisi kepimpinan negara jika masih dilekakan dan "ditidurkan" oleh "pil khayal" iaitu dengan hedonisme yang melampau sehingga tercetus gejala sosial yang semakin hari kian parah? Marilah sama-sama kita fikirkan sejenak tentang cabaran ini. Saya sendiri meminati seni muzik tetapi terkawal dan tidak terlalu melampaui batas. Muzik yang sering saya dengari adalah muzik yang berunsurkan soul, pop, acapella dan muzik kegemaran saya adalah nasyid yang banyak memberikan pengajaran buat saya. Tidak dinafikan bahawa fitrah manusia itu sendiri adalah keinginan mereka untuk merasai keseronokan dan menuruti nafsu semata-mata tetapi dengan keperluan kawalan dan kepatuhannya sebagai hambah Allah. Sebagai seorang muslim, kita haruslah mengambil pendekatan moderate atau bersederhana dalam melakukan sesuatu perkara. "Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan." (Al-A'raaf:31) Dalam Firman Allah, Allah menyeru umat manusia untuk tidak berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu perkara. Ini kerana berlebih-lebihan dapat membawa kemudharatan dari aspek aq'liah, ruhaniyyah dan jasmaniyyah. Anak muda kini berlebih-lebihan dalam berhibur yang dapat dilihat dalam acara keramaian seperti konsert, sehingga ada yang sanggup membuang wang semata-mata untuk menghadiri sesuatu konsert. Adakah setelah ke konsert, mereka akan mendapat satu perkara yang berfaedah yang dapat mereka manfaatkan dalam kehidupan mereka? Dari segi aq'liahnya, mereka menjadi pemikir yang lesu dan tidak kritis. Ruhaninya tidak mantap dan mendorong mereka untuk melakukan perkara mungkar dan jasmaninya tidak sihat kerana sentiasa berasa penat dan lelah walaupun merasai keseronokan yang hanya sekejap dan sementara.

Apa Tindakan Kita?

Sebagai belia muslim, kita seharusnya kembali kepada fitrah alamiah manusia. Seperti lirik kata lagu ini yang dinyanyikan oleh kumpulan Syifa', Mentari Hidup...
Kala senja itu tiba
Kutermenung sendirian
Terasa diriku ini jauh dari rahmat Tuhan
Dosa yang aku lakukan
Menerjah ruang fikiran
Masihkah ada untukku keampunan
Gelap rasa dunia ini
Tanpa cahaya Ilahi
Baru kini kusedari
Jalan yang aku lalui
Memusnah pedoman hidup
Melempar hatiku ini ke lembah kehinaan
Dalam kegelapan itu
Terbit cahaya dari-Mu
Memandu hamba-Mu menuju iman
Menginsafi diri dengan ketaqwaan dan kesabaran
Kau terangi jalanku menuju syurga-Mu
Dan Kau tunjuki dengan hidayah-Mu
Hanyalah pada-Mu kuhadapkan diri
Mohon keampunan
Wahai Yang Maha Pengasih
Bantulah hamba-Mu ini
Yang kian terumbang-ambing
Di dalam arus duniawi
Kuberdoa kepada-Mu
Memohon limpah rahmat-Mu
Mentari hidupku kan bersinar kembali

Apa yang dimaksudkan melalui lagu ini adalah pentingnya kita sebagai umat Islam itu mengenal Tuhannya yakni Allah dengan menuntut ilmu. Dengan menuntut ilmu, kita dapat mengkaji kebesaran Allah dan melihat serta berfikir akan kekuasaanNya. "Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi diri kepada-Ku" (Al-Dzaariyaat, 56) Dalam Tafsir Al-Azhar, konteks mengabdikan diri boleh diterjemahkan kepada dua, yakni ilmu dan amal. Dalam buku As-Sayr Ila'Llah (Perjalanan Mendekati Allah) dua elemen ini, ilmu dan zikir (amal) perlulah seiring untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah. Maka dengan menuntut ilmu, kita dapat mempertingkatkan pengetahuan kita dan mengembangkan ilmu yang diperolehi dan dikongsi bersama dengan yang lain. Maka untuk menjadi belia yang mantap, yang menpunyai kekuatan aq'liah, ruhaniyyah dan jasmaniyyah, generasi muda haruslah mempunyai kekuatan ilmu. Rasulullah pernah bersabda, "Menuntut ilmu adalah fardhu buat seluruh muslimin dan muslimat".

Generasi muda masa kini haruslah mempersiapkan diri dengan kekuatan ruhani bagi mengukuhkan lagi kekuatan ilmu yang sudah diperolehi. Sifat tawaduk atau patuh dengan perintah Allah, sentiasa mengingati Allah dan menyebut asmanya, mengerjakan solat 5 waktu, muhasabah diri, solat malam, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran adalah antara kekuatan kejiwaan dan ruhani yang harus ada dalam diri generasi muda muslim. Bukan itu saja, pemeliharaan hati daripada melakukan perkara yang dilarang seperti mengumpat, berlebih-lebihan atau melampaui batas, melihat perkara yang tidak seharus dilihat (porno dan sebagainya), takbur, ujub, riak haruslah dielakkan bagi menjaga kebersihan dan kesucian hati agar lebih tenang dan lebih khusyuk dalam mengerjakan amalan serta ibadah.

Generasi muda kini juga harus bijak mencari rakan yang dapat membawa mereka kepada kebaikan. Dengan ada rakan yang baik, kita sebenarnya dapat bermuhasabah diri dan dapat memperingati antara satu dengan yang lain demi kebaikan bersama. Disamping berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar fikiran, mereka sebenarnya secara tidak langsung dapat membina ukhuwwah Islamiyyah dan mengeratkan silaturrahim antara mereka.

Gejala hedonisme yang semakin berleluasa masa kini dapat dicegah dengan guideline atau panduan yang telah saya utarakan dalam tulisan ini melalui pembacaan dan pengkajian sosial yang telah saya lakukan . Semoga dengan adanya tulisan ini dapat memberi sedikit sebanyak manfaat kepada kita untuk tidak melibatkan diri dalam gejala hedonisme yang melampaui.

"Melampau membawa binasa, Sederhana membawa berkat"

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Design Blog, Make Online Money